Profail ♥

My photo
Malaysia
USIA didaftarkan pada 10 Oktober 1969 berikutan keputusan Kongres Masyarakat Islam dua bulan sebelum itu. Pertubuhan ini ujud hasil gabungan Persatuan Islam Putatan, Persatuan Islam Sabah dan Persatuan Islam Tawau. USIA memainkan peranan yang amat bermakna dalam gerakan dakwah di Negeri Sabah, termasuk penubuhan MUIS pada 1972, pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi di Negeri ini dan pengislaman seramai 71,471 orang dalam tempoh 6 tahun pertama penubuhannya.

Tuesday, August 30, 2011

Salam Aidil Fitri

Bagi pihak Yang Dipertua, barisan kepimpinan tertinggi USIA, pengurusan pentadbiran USIA Pusat serta seluruh warga USIA mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dan Salam Kemerdekaan yang ke 54 kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada, khususnya ahli-ahli USIA. Semoga segala amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan diberikan ganjaran pahala yang setimpal oleh Allah SWT. Marilah kita bersama-sama memohon keampunan dan petunjuk dariNya. Jazak Allah....!!

Tuesday, August 2, 2011

Rukun Puasa

Syarat Wajib Puasa
  • Berakal
  • Akhir Baligh (Cukup umur)
  • Kuat atau mampu mengerjakan puasa
Syarat Sah Puasa
  • Islam
  • Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
Rukun Puasa
  • Berniat – Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
  • Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.
Perkara Yang Membatalkan Puasa
  • Makan dan minum dengan sengaja
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila
  • Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

Monday, August 1, 2011

Salam Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim…


Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
” Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa.”
Manakala Rasulullah SAW telah bersabda :
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Yang Amat Berbahagia Tun Yang Dipertua, Timbalan-Timbalan Yang Dipertua, Naib-Naib Yang Dipertua, Ketua Belia, Ketua Wanita, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Penolong Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan seluruh barisan kepimpinan Majlis Tertinggi, Pegawai dan Kakitangan mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada umat Islam di mana jua anda berada. Semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan dariNya. Amin.

Friday, June 17, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Ke 25

As Salam...

Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan akan diadakan pada 18 Jun 2011 (Sabtu), Jam 8:30 pagi bertempat di Dewan Mutiara, SMK Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Arshad bin Idris, Penolong Setiausaha Agung USIA. Pemantau dari USIA Pusat ialah Encik Damit Haji Tajudin, Puan Hjh Raini Haji Adis dan Puan Mustika Dewi Roslan. Seorang Pegawai Dakwah iaitu Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahman turut serta dalam kunjungan kerja ini.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Tungku akan diadakan pada 19 Jun 2011 (Ahad), Jam 9:00 pagi bertempat di Dewan Asia Hotel, Lahad Datu. Majlis dirasmikan oleh YBhg Mejar (K) Abd. Latiff Kandok, Setiausaha Agung USIA. Pemantau dari USIA Pusat ialah Encik Misnan Warman dan Encik Indra Sabari. 

Wassalam.

Tuesday, June 7, 2011

Berita Baik Untuk Dunia & Akhirat!!

As Salam.

Sukacita dimaklumkan bahawa Unit Operasi Dakwah, Ibu Pejabat USIA akan menganjurkan Kelas Pendidikan Agama Islam secara percuma kepada masyarakat Islam setempat. Pengambilan pelajar bermula pada hari ini, 07 Jun 2011 dan penyertaan adalah terhad. Kelas terbuka kepada individu beragama Islam yang berminat dan berumur 18 tahun ke atas. Para peserta dikehendaki mendapatkan borang penyertaan yang disediakan di Unit Dakwah, Tingkat 2, Ibu Pejabat USIA, Kota Kinabalu.

Kelas Pendidikan Agama ini diadakan pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis, bermula jam 12:30 tengahari hingga 1:45 petang. Mata pelajaran yang diajar adalah Bahasa Arab, Pengajian Al-Quran, Kefahaman Islam dan Perbandingan Agama.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Ustaz Ahmad bin Yahya, di talian telefon: 088-240151/250766.

Sekian dan terima kasih.

Wassalam.

Friday, April 29, 2011

Assalamualaikum Wr. Wbr.

Ucapan setinggi takziah kepada YBhg Datuk Pg. Haji Abdul Rahman bin Datuk Seri Panglima Pg. Digadong Haji Muhamad Galpam atas pemergian ibunda tercinta pada subuh tadi di Sandakan. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan para solehin dan syuhada. Salam takziah daripada Yang Amat Berbahagia Tun Yang Dipertua, barisan kepimpinan Majlis Tertinggi, pegawai dan kakitangan serta seluruh warga USIA. Al Fatihah....

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). (Al-An'aam 6:61)

Saturday, April 23, 2011

Al Fatihah

Ucapan takziah buat Saudara Indra Sabari, Pembantu Tadbir Kewangan di Ibu Pejabat USIA atas kembalinya ke rahmatullah Ibunda tercinta pada 23 April 2011 (Sabtu). Moga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, Al Fatihah. 

Salam takziah daripada Yang Amat Berbahagia Tun Yang Dipertua, barisan kepimpinan Majlis Tertinggi, Pegawai dan Kakitangan serta seluruh warga USIA.

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (Qaaf 50:19)

Saturday, April 16, 2011

Al Fatihah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam takziah buat Sdr. Damit bin Haji Tajudin, Pegawai Perhubungan Dakwah USIA di atas pemergian ibunda tercinta pada hari ini, jam 2:00 petang. Jenazah Allahyarhamah telah dikebumikan pada petang tadi bertempat di Tanah Perkuburan Orang Islam Taman Sempelang. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin dan syuhada. Al Fatihah....

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Al-Munaafiquun 63:10

Salam Ulang Tahun

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam ulang tahun buat Tuan Haji Abdul Hakim bin Haji Ghulam Hassan, Ketua Belia USIA Pusat. Kami sentiasa mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan kepada tuan untuk memimpin para belia di Negeri ini. Kami jua mendoakan semoga tuan dilanjutkan usia, diberikan kesihatan yang baik, dilipatgandakan rezeki dan ganjaran pahala ke atas segala amal ibadat yang baik serta berbahagia di samping isteri dan keluarga, di dunia dan akhirat. Amin. 

Ikhlas daripada:
Tun Yang Dipertua,
Barisan Kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi
Pengurusan dan Pentadbiran, warga kerja dan seluruh Ahli-ahli USIA.

Al Fatihah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Haji Madri Akong yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu, 13 April 2011 bertempat di Kota Belud. Kami mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama dengan golongan hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah... Daripada Tun Yang Dipertua dan barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi, Pengurusan Pentadbiran Pegawai dan Kakitangan serta seluruh warga USIA.

Thursday, April 14, 2011

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat menyambut ulang tahun yang ke 81, 
Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran bin Dandai, 
Yang Dipertua USIA.  

Moga Yang Amat Berbahagia Tun diberikan kesihatan yang baik, dilipatgandakan rezeki dan dipanjangkan umur bagi memimpin masyarakat Islam khususnya ahli-ahli USIA di Negeri ini. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan Yang Amat Berbahagia Tun.

Salam hormat dan kasih sayang daripada kami Pegawai dan Kakitangan Ibu Pejabat USIA, Kota Kinabalu, Sabah.

Wednesday, March 9, 2011

Mesyuarat JK Pengurusan dan Pentadbiran USIA Bil. 1/2011

Keterangan Am:
Tarikh: 10 Mac 2011 (Khamis)
Masa:  Jam 10:00 pagi
Tempat:  Bilik Mesyuarat, Tingkat 2, Bangunan USIA, Jln Sembulan, KK

Ahli Mesyuarat:
YBhg Datuk Haji Aklee bin Haji Abass - Pengerusi
YBhg Datuk Haji Arshad bin Idris - Setiausaha
YB. Datuk Haji Karim bin Bujang - AJK
Tuan Haji Matin bin Datuk Haji Pandin - AJK
Tuan Haji Mustafa Kula - AJK

Agenda  Mesyuarat:
Perutusan Pengerusi
Perbincangan Mengenai Jawatan Pegawai dan Kakitangan USIA
Hal-hal Lain

Tuesday, February 15, 2011

Maulidurrasul 1432H

Bagi pihak Tun Yang Dipertua, Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Pengurusan dan Pegawai serta Kakitangan USIA mengucapkan Salam Maulidurrasul buat seluruh umat Islam khususnya ahli-ahli USIA. Moga keperibadian tinggi Rasulullah menjadi siri teladan yang baik buat kita semua. Sama-samalah kita meningkatkan amalan, muhasabah diri dan mencontohi keperibadian Rasulullah.  

Friday, February 11, 2011

Program Rasulullah SAW Dalam Ingatan Sepanjang Zaman

Program ini akan diadakan pada 20 Februari 2011, bermula jam 9:00 pagi, bertempat di Masjid Ar Raudah, Lahad Datu. Program bersempena dengan kehadiran Maulidurrasul SAW 1432H ini adalah anjuran Belia USIA Pusat. Seramai 1,200 orang peserta dijangka hadir ke program ini, yang terdiri dari kalangan para belia dan beliawanis, termasuk imam-imam Qariah, Imam Rawatib dan pengerusi-pengerusi masjid di daerah tersebut.  

Di antara pengisian program ialah persembahan berzanji dan ceramah perdana, di samping beberapa persembahan lain yang bersesuaian.  AJK Belia USIA Pusat yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini ialah Tuan Haji Abdul Hakim bin Gulam Hassan, Ketua Belia USIA Pusat, Ustaz Ag. Juri bin Ag. Tahir selaku penceramah dan Ustaz Haji Jadmin bin Mohamed Soon, Setiausaha Belia USIA Pusat.  

Monday, January 31, 2011

Seminar Sehari Dakwah USIA Bahagian Kota Marudu

Lebih kurang 200 orang peserta terdiri dari kalangan Saudara Baru telah menyertai Seminar Sehari Dakwah anjuran bersama USIA Bahagian Kota Marudu ini.  Majlis telah diadakan pada 23 Januari 2011, bertempat di Surau An-Nur, Kampung Longob, Kota Marudu. Majlis Perasmian disempurnakan oleh Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran bin Dandai, Yang Dipertua USIA. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Datuk Haji Matussin Ag. Damit, Naib Yang Dipertua USIA dan Datuk Haji Arshad bin Idris, Pemangku Setiausaha Agung. Ceramah dan forum telah dilaksanakan dengan jayanya atas usaha Pengarah Dakwah USIA Pusat iaitu Ustaz Abuhuraira Abdurrahman, Pegawai Dakwah USIA Pusat yang juga merupakan Ketua USIA Bahagian Kota Marudu, Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahman dan beberapa orang pegawai serta kakitangan yang lain. Di antara anggota masyarakat setempat yang turut hadir ialah Sdr. Bahari Giru, Ketua Kampung Longob dan Sdr. Jefri Hamzah, Imam Surau An-Nur Kampung Longob. Bersempena dengan program ini juga Tun Yang Dipertua telah menyampaikan sumbangan dari USIA Pusat kepada para saudara kita di daerah berkenaan. Selain daripada itu, Tun Yang Dipertua juga telah mengumumkan pemberian peruntukan sejumlah RM5,000 kepada USIA Bahagian Kota Marudu dengan agihan masing-masing sejumlah RM1,000 kepada Badan Belia dan Wanita Bahagian tersebut dan RM1,000 kepada Surau An Nur Kampung Longod serta pembiayaan pembelian baju murid kelas KAFA di kampung tersebut.

Ziarah Bahagian ~ Keningau

Program ini telah diadakan di daerah Keningau, dengan kerjasama Jawatankuasa USIA Bahagian Keningau. Ustaz Abuhuraira Abdurrahman, Pengarah Dakwah USIA bersama rombongannya yang terdiri daripada tiga orang Pegawai Dakwah USIA Pusat iaitu Ustaz Suharto Soekarni, Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahman dan Ustaz Wahab Bustami telah mengadakan ceramah agama di beberapa buah masjid di daerah tersebut iaitu Masjid di Kampung Bayangan, Pekan Ar Rahim, Kampung Kota Ayangan, Al-Taqwa, Kampung Beriawa dan beberapa buah Surau termasuk di Kampung Padang Tembak, Kampung Kirokot dan Kampung Panagatan Ulu. Program ini merupakan kesinambungan forum bergerak anjuran USIA Pusat dan Bahagian yang telah digariskan sebagai program tahunan USIA. Kelihatan dalam gambar, Ustaz Abuhuraira mengabadikan kenangan bersama Ketua dan sebahagian daripada Ahli-ahli Jawatankuasa USIA Bahagian Keningau.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BIl. 1/2011

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi USIA Bil. 1/2011 telah diadakan pada 12 Januari 2011, bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 4, Bangunan USIA, Jalan Sembulan, Kota Kinabalu. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran bin Dandai, Yang Dipertua USIA. Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi terdiri daripada dua orang Timbalan Yang Dipertua, Naib-Naib Yang Dipertua, Bendahari Agung, Pemangku Setiausaha Agung, Ketua Belia, Ketua Wanita dan beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik menganggotai Majlis Kerja Tertinggi USIA ini.  Dalam perutusannya, Tun Yang Dipertua memaklumkan mengenai rancangan program dakwah USIA yang akan diadakan pada tahun ini seperti forum bergerak (mobile forum) ke Bahagian-Bahagian, Khemah Dakwah, Dakwah Khas, Kelas Baitunnur Intensif dan seumpamanya.  Program akan diadakan secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun ini. 


Sunday, January 30, 2011

Jadual Maulidurrasul di Tawau

Program Dakwah USIA sempena Maulidurrasul di Tawau adalah anjuran USIA Pusat dengan kerjasama USIA Bahagian Tawau.

17/02/2011 - Ceramah (selepas Solat Maghrib)
Kg. Kurnia Jaya - Ustaz Abuhuraira Abdurrahman
Tanjung Batu Keramat - Ustaz Haji Zainal Abidin
Taman Semarak - Ustaz Suharto soekarni
Kg. Ranggu - Ustaz JM Ikhwan Asngadi

18/02/211 - Khutbah Jumaat
Kg. Saadani Batu - Ustaz JM Ikhwan Asngadi
Masjid Bandar - Ustaz Suharto Soekarni
Masjid Raya - Ustaz Abuhuraira Abdurrahman
Kg. Kinabutan - Ustaz Haji Zainal Abidin

18/02/2011 - Ceramah Agama (selepas Solat Maghrib)
Kg. Muhibbah Raya - Ustaz Abuhuraira Abdurrahman
Bukit Gemuk - Ustaz Haji Zainal Abidin
Bombalai - Ustaz Suharto Soekarni
Kg. Jawa Lanut - Ustaz JM Ikhwan Asngadi
Balung Kokos - Ustaz Mohd. Amin Nasir

19/02/2011 - Forum
Masjid Raya - Ustaz Abuhuraira Abdurrahman, Ustaz Suharto Soekarni, Ustaz JM Ikhwan Asngadi dan Ustaz Haji Zainal Abidin.

20/02/2011 - Ceramah (selepas Solat Maghrib)
Kg.Kinabutan - Ustaz Abuhuraira Abdurrahman
Kg. Titingan - Ustaz Haji Zainal Abidin
Tanjung Batu Tengah - Ustaz Suharto Soekarni
Batu Payung - Ustaz JM Ikhwan Asngadi

Friday, January 28, 2011

Keratan Akhbar Januari 2011

Pelbagai program dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2011. Program tersebut telahpun diuar-uarkan melalui media elektronik dan media massa. Di antara yang telah disiarkan dalam surat khabar tempatan adalah seperti berikut:-

USIA Pusat adakan forum bergerak ke seluruh daerah

Seminar Sehari Dakwah USIA di Kota Marudu

Rancangan USIA untuk terus mendekati Saudara Baru

Majlis Anugerah kepada pemimpin gerakan Islam anjuran USIA Bahagian Penampang

Pengarah Dakwah USIA mengabadikan kenangan bergambar bersama
AJK USIA Bahagian Keningau sempena acara di Bahagian tersebut.

Thursday, January 27, 2011

Mesyuarat Majlis Tertinggi USIA Bil. 1/2011

Mesyuarat diadakan pada tarikh 27 Januari 2011, jam 10:00 pagi, bertempat di Dewan Mesyuarat Tingkat 4, Bangunan USIA, Jalan Sembulan, Kota Kinabalu. Ianya merupakan mesyuarat pertama pada tahun 2011 ini. Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran bin Dandai, Yang Dipertua USIA. Dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Yang Dipertua, Naib-Naib Yang Dipertua, Pemangku Setiausaha Agung, Ketua Belia dan Ketua Wanita serta barisan Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain. Di antara agenda yang dibincangkan ialah mengenai pelaksanaan Program Dakwah USIA 2011 serta tindakan ke atas usul ataupun perkara yang dibangkitkan oleh para Perwakilan semasa AGM USIA Ke 24 yang lalu. Sementara itu, dalam perutusannya Tun Yang Dipertua menyambut baik cadangan penganjuran Kelas Mahad Tahfiz di setiap USIA Bahagian sebagai salah satu usaha melahirkan imam muda berbakat dan seterusnya menerajui kepemimpinan Masjid dan Surau. Beliau berkata, program tersebut merupakan mekanisme yang difikirkan dapat menarik generasi muda mendekati Masjid dan Surau, di samping USIA menjadikan mereka pelapis imam yang sedia ada di masa akan datang.

Tun Sakaran (dua dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama AMT USIA di Dewan Mesyuarat, Tingkat 4, Bangunan USIA, Kota Kinabalu.  Turut kelihatan Tan Sri Ampong (dua dari kanan), YB Datu Nasrun (kanan) dan Datuk Arshad (kiri).


Naib-Naib Yang Dipertua yang hadir di mesyuarat tersebut.  Dari kiri Sdr. Lamsil Hamidsor, Datuk Matussin dan Datuk Aklee.

Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang terdiri daripada Ahli-ahli Yang Berhormat turut meluangkan masa hadir ke mesyuarat kali ini.  Kelihatan dari kiri YB Zakaria, YB Tawfiq dan YB Surady.

Di antara yang hadir juga ialah Datin Seri Panglima Hjh Norsuadah, Ketua Wanita (dua dari kiri) dan Tuan Haji Abdul Hakim, Ketua Belia (dua dari kanan), begitu juga dengan Puan Hajah Nanih di sebelah kiri dan Tuan Haji Amin (NYP) di sebelah kanan.

Sebilangan daripada AMT yang hadir. Kelihatan dari kiri, Encik Awang Hashim, Tuan Haji Uda, Dr. Haji Minggu dan beberapa orang AMT yang lain.

Dari kiri, YB Surady (Ahli Majlis Tertinggi), Tuan Haji Mohd Ali (Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua USIA WP Labuan) dan Sdr. Abd. Latiff (Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua USIA Kudat).